Thursday, February 4, 2016

Mengajar anak mengaji - satu pengalaman

عَن عُثَمانَ رَضِىَ اللٌهُ عَنهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللٌهِ صٌلَى اللٌهُ عَلَيهِ وَسَلٌمَ خَيُركُم مَن تَعلٌمَ القُرانَ وَعَلٌمَهَ . ) رواه البخاري وابو داود والترمذي والنسائ وابي ماجه هكذا في الترغيب وعزاه الى مسلم ايضا لكن حكي الحافظ في الفضح عن ابي العلاء ان مسلما سكت عنه ).
Dari Uthman r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda, “sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al Qur’an dan mengajarkannya.” (Hr. Bukhari, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah)
Hadith di atas menceritakan akan kebaikan belajar dan mengajar Al-Quran. Namun, dalam lingkup yang lebih luas, aku melihatnya sebagai, belajar/tuntut ilmu dan mengajarnya dan dalam hal ini mendidik anak aku sendiri kerana untuk mengajar orang lain atau berkongsi ilmu dengan orang lain memerlukan pentauliahan atau pensijilan.

Namun, bukan mengajar ilmu pada yang lain yang ingin dikongsi bersama, tetapi pengalaman aku dalam mendidik anak aku. Dari segi ilmu dunia, Alhamdulillah, aku pesan kepada anak-anak aku, jika tidak faham apa yang diajar di sekolah, boleh tanya aku atau isteriku (emak anak-anak aku), aku akan cuba sedaya upaya ajar dan jika ilmu yang aku ada tidak mampu, aku akan cari (google) dan fahaminya sebelum mengajar kembali. Dan Alhamdulillah, Allah beri diriku dan isteriku cahaya di dalam hati yang membolehkan kami memahami sesuatu itu dengan mudah lantas mengajar anak kembali anak ku.

Namun, ilmu Al-Quran bukan sesuatu yang boleh dipelajari begitu sahaja melalui FB, twitter, Youtube, etc. Ia perlu berguru dan yang terbaik ialah ber-talaqqi. 

Aku sebenarnya sudah lama meninggalkan Al-Quran. Kali terakhir aku membuka dan menatap satu persatu helaian Al-Quran ialah ketika mengikuti kursus Diploma Sains Komputer di ITM. Selepas itu, Surah yang aku baca hanyalah Yassin pada malam Jumaat sahaja. Itulah ilmu yang aku kutip secara melihat pada perbuatan orang-orang tua di kawasan rumah aku ketika kecil. Dan apabila aku besar dan belajar, baru ku tahu bahawa yang terbaik ialah baca Surah Al-Kahfi di malam jumaat kerana tiada nas berkenaan baca Yassin namun tiada halangan juga jika ingin lakukan dengan syarat tidak menjadikan ia wajib.

Berbalik kepada pengalaman aku... Ketika anak pertama aku lahir, aku masih berada jauh dari Al-Quran. Kesibukan kerja menyebabkan aku leka. Namun, aku mula mendekatkan diri ketika bekerja di Matrix Power Network. Ketika itu, anak sudah tiga dan anak aku yang pertama sudah berada di darjah satu. Kesedaran itu timbul apabila anak lelaki aku balik dari sekolah dan minta aku dengar bacaannya. Terkesima sekejap sebab aku sendiri kurang pasti betul atau tidak. Aku mula membuka Al-Quran yang dah berhabuk. Huruf-huruf kelihatan kecil je masa tu.

Agak teruk juga bacaan masa tu. Ye lah, dah lebih dari satu dekad tidak membaca. Surah Al-Baqarah sahaja mengambil masa sebulan untuk aku baca kerana merangkak kembali. Alhamdulillah, pihak pengurusan Matrix membantu dengan menyediakan kelas mengaji.. dan aku bersyukur kerana ketika mula mengaji dengan ibuku dulu, aku belajar mengenal huruf dan baris berbanding kaedah sekarang yang mengenal bunyi. Aku menyakinkan isteriku bahawa ilmu agama seperti solat dan mengaji boleh aku didik sendiri tanpa perlu dihantar ke sekolah agama atau guru agama walaupun ketika itu isteriku ada keraguan disitu. Tapi, aku tidak putus semangat. Kelas yang diadakan di tempat kerja serta surau menjadi tempat aku belajar.

Memandangkan aku sudah kenal huruf, maka yang pertama aku betulkan ialah sebutan Makhraj huruf. Dan konsep yang sama juga aku terapkan pada anak aku.

Aku dapat rasakan bahawa konsep yang aku didik anak aku lebih baik berbanding mengenal bunyi seperti diamalkan sekarang. Ini kerana, aku lihat ramai anak-anak yang mengenal bunyi, apabila tidak menyentuh Al-Quran agak lama, pasti akan merangkak semula. Berbanding yang mengenal huruf dan belajar mengeja dahulu. Walaupun agak lambat dan perlahan, tetapi ia tetap masuk ke hati. Dan tidak sukar bagi aku mengajar anak aku walaupun setelah seminggu mereka tidak membaca.

Berbalik kepada hadith di atas. Ketika mula-mula di Matrix, aku mengambil masa 1 jam untuk membaca surah Al-Kahfi dan mengambil masa hampir 2 minggu untuk habiskan Surah Al-Baqarah (baca 20 minit sehari). Kemudian, aku memperbetulkan bacaan dengan mendengar berulang-kali bacaan Qari terkenal dan yang paling aku minati ialah Misyhari Al-Asyari. Ketika berada di Matrix, sesi tadarrus digunakan sepenuhnya untuk melancarkan kembali bacaaan. Dan ketika berada di POS, aku kembali belajar tajwid meningkatkan kelancaran bacaan.

Ilmu yang aku pelajari itu, aku ajar kembali kepada anakku. Dan Alhamdulillah, walaupun sibuk dengan kerja, aku pastikan setiap malam selepas maghrib, aku akan panggil anak aku untuk ajar mereka mengaji. 

Aku mulakan dengan Muqaddam (tidak Iqra) kerana konsep aku terapkan ialah kenal huruf dan dalam masa yang sama, aku perkenalkan konsep Makhraj huruf. Ilmu dan cara sebutan yang betul aku ajar berdasarkan ilmu yang aku pelajari dari beberapa orang guru. Kemudian, aku didik anak aku dengan baris. Memandangkan cara bacaan kini disebut baris atas, baris bawah, etc, aku ajar cara yang sama walaupun aku belajar dulu guna 'fathah', 'kasroh', 'domma', etc. Ini kerana konsep yang ingin diterapkan ialah kebolehan mengeja dan buka nama baris.

Setelah mereka lancar dan boleh mengeja dari satu huruf ke huruf yang bersambung, barulah aku kembali ke Iqra' untuk menasimilasikan dengan corak pendidikan sekarang.

Setelah mereka lancar, aku bawakan surah lazim (semua surah dalam Muqaddam). Dari satu ayat hingga satu surah bergantung kepada kelancaran masing-masing. Ketika ini, aku tidak tekankan tajwid atau panjang-pendek satu-satu bacaan itu. Kenapa? Ini dilakukan untuk tidak membunuh semangat anak-anak aku membaca Al-Quran dan untuk melancarkan bacaan mereka terlebih dahulu. Jika aku tekankan pada tajwid dan hukum 'mad', maka ia akan mengurangkan kelancaran mereka serta sukar untuk aku melihat sejauh mana mereka mampu mengenal huruf dalam baris yang panjang serta membacanya.

Apabila habis Muqaddam, aku kenalkan merekan dengan Al-Quran. Ketika inilah aku memperbetulkan bacaan mereka. Adakalanya bengang juga mereka sebab satu-satu ayat itu aku suruh ulang berkali-kali. Dalam masa yang sama, bergantung kepada kemampuan pernafasan anak-anak aku, ada yang aku habiskan satu ayat dan ada yang aku pecahkan ayat tersebut kepada beberapa potong ayat. Cuma, setakat ini, aku belum ajar anak aku apa nama hukum tajwid itu. Salah satu sebabnya ialah aku sendiri tidak berapa ingat. Namun apa yang aku ajar ialah, apabila ada tempat yang perlu didengungkan aku didik mereka untuk dengungkan serta memaklumkan kenapa. Apabila ia perlu di Qalqalah kan, maka aku didik mereka dan maklumkan kenapa. Malahan, cara sebutan ketika dengung/qalqalah serta pergerakan di lidah juga aku tunjukkan. Ini semua hasil dari ilmu yang dipelajari ketika berada di beberapa syarikat.

Dan kini, Alhamdulillah, bukan sahaja aku sendiri lancar membaca Al-Quran (Surah Al-kahfi habis aku baca dalam 25 minit dan Surah Al-Baqarah kini boleh aku habiskan dalam seminggu dengan bacaan sekitar 20 minit sehari) dan bacaan surah Yassin aku perbetulkan bersama dengan surah-surah lain, namun ada beberapa surah memerlukan aku menukar gear ke gear rendah kerana pertukaran makhrajnya yang berbeza dalam satu-satu perkataan itu. Walau bagaimanapun, anak aku telah aku didik sendiri membaca Al-Quran tanpa menghantar ke mana-mana guru. Dan Alhamdulillah, walaupun anak aku memasuki sekolah agama agak lewat berbanding dengan anak-anak orang lain, tetapi mereka mampu mengharunginya tanpa masalah.

Cuma sekarang aku dah jarang mengajar anak aku mengaji. Bukan kerana tiada masa, tetapi setiap hari anak-anak aku dibebani dengan kerja sekolah (sekolah agama dan sekolah kebangsaan). Hanya pada hari mereka tiada kerja sekolah sahaja aku panggil untuk bertalaqqi dengan ku.

Untuk anak aku, hanya satu sahaja yang aku belum mampu ajar, iaitu tarranum dan juga bahasa arab. InsyaAllah, aku akan belajar juga satu hari nanti untuk membolehkan aku mengajar sendiri anak-anak aku ilmu tarranum dan bahasa arab.

Setakat ini, aku sekali-sekala berkesempatan bertalaqqi dengan beberapa orang ustaz di Masjid Saidina Abu Bakar (Bangsar) untuk memastikan pembacaan aku sempurna sekali gus mampu menyempurnakan bacaan anak-anak aku juga.

Begitulah sedikit pengalaman aku dalam mengajar anak aku ilmu membaca Al-Quran.

No comments: