Monday, April 25, 2016

Rezeki tidak berkurang dengan kejujuran

Pagi ahad bebaru ini saya ke pasar. Sudah menjadi kebiasaan, saya akan ke pasar selepas menghantar anak ke sesi taekwando mereka. Sementara nak tunggu dia orang habis, saya akan beli barang basah dulu.

Dulu saya akan ke TESCO atau ke kedai runcit di kawasan berdekatan, tetapi, sejak beli di pasar ini, saya sudah jarang beli barang basah di kedai runcit berdekatan rumah. Walaupun jarak ke pasar dari rumah adalah lebih kurang 10km berbanding ke kedai runcit (dlm 5km), tetapi saya rasa berbaloi kerana kualiti sayur dan makanan laut yang baik berbanding di kedai runcit.

Namun, bukan itu yang ingin saya katakan disini. Tetapi nilai kejujuran peniaga di pasar ini. Pasar ini ialah Pasar Pagi BCH (Bandar Country Homes), terletak di antara deretan kedai 2 tingkat dan rumah teres di BCH, Rawang.

Ada 2 tingkat.. Tingkat atas merupakan 'food court' yang berkonsep 1Malaysia.. Ada kedai makan melayu, cina dan india. Begitu juga tingkat bawah.

Apa yang boleh dikatakan, ada beberapa peniaga di sini yang saya kira jujur dalam berniaga. Peniaga pertama ialah peniaga sayur berbangsa cina. Sudah berulang kali saya beli sayur dengannya. Dan adakalanya dia akan bertanya pada saya jika saya memilih sayur yang betul bagi memastikan saya tidak tersalah beli dan rugi.

Dan ada seorang peniaga ikan orang ISLAM (kedainya dihujung sekali dan satu-satunya kedai yang ada ikan keli). Apa yang menarik ialah, ketika saya beli ikan semalam, tetiba kakak yang meniaga (suami dia akan menyiang ikan) kata ... 'haaa inilah adik yang akak dok cari tu.. adik yang beli undang 2 minggu lepas tapi tak bawa balik kan?' .. akak tu cakap pada seorang lelaki yang baru sampai.. lelaki tu mcm bingung dan cakap 'ye ke.. entah la kak.. saya pun tak ingat.. dah lama.. ada la dalam 3 minggu juga saya last datang'... akak tu tanya lagi 'tapi hari tu ada beli udang kan? lepas tu akak tak masukkan udang.. cari mana tak jumpa'.. lelaki tu jawap 'entah la kak.. dah tak ingat'... akak tu respon 'ye lah.. kamu.. tak pe.. akak pun dah kira tu.. ni akak bagi udang'..

Moral cerita ni: Memang susah nak cari peniaga yang ingat apa yang pembeli beli dan sanggup menggantikannya bila bersua kembali, hatta kalau pembeli tu cakap dia tertinggal, hatta sejam yang lalu dia tertinggal barang beliannya itu... Dan saya lihat kedai ikan kakak ni memang laris dan sentiasa ramai orang ... Moga kejujurannya itu dibalas Allah.

Tuesday, April 12, 2016

Menguruskan Kematian Pesara Kerajaan - Satu perkongsian pengalaman

Esok, 13 April 2016, genapla 2 minggu abah saya meninggal dunia. Masih tergiang-giang di telinga ketika menjaganya di hospital pada baki hari-hari terakhirnya, ketika mana dia masih berupaya bergurau dan menahan sakit. Masih teringat detik ketika dia ucapkan tahniah pada saya dan isteri kerana telah menamatkan pengajian dan sama-sama makan malam bersama keseluruhan keluarga saya walaupun makan malam itu tidak sempurna.
Namun, saya agak terkilan kerana tidak bersamanya ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Allahuma firlahu warhamhu... Tapi, Alhamdulillah, saya masih diberi peluang untuk berkhidmat kepadanya dari bilik jenazah hinggalah ke liang kubur. Moga-moga, khidmat yang tidak seberapa dibanding dengan titik-peluhnya membesarkan saya diterima.

Tapi, bukan ini yang ingin saya kongsikan. Tetapi proses pengurusan selepas pemergiannya, mudah-mudahan, akan menjadi satu ilmu untuk rakan-rakan lain yang ahli keluarga mereka merupakan pekerja kerajaan @ sektor awam @ pesara kerajaan yang di dalam senarai bayaran gaji atau pencen oleh kerajaan.

1. Apabila berlaku kematian ahli keluarga, maklumkan segera pada badan khairat kematian. Inilah pentingnya menjadi ahli badan khairat kematian. Alhamdulillah, arwah abah saya menjadi ahli pada 2 badan khairat kematian di kawasan rumah, surau dan masjid, dan ini memudahkan urusan pengkebumian yang lain (van jenazah, solat jenazah, proses kubur dan sebagainya).

2. Apabila telah selesai urusan pertama, seperti kita sedia maklum, hutang merupakan perkara kedua dan diikuti dengan faraid yang perlu diselesaikan. Di sinilah pentingnya jika kita tahu perkara berkaitan hal hutang dan harta arwah. Sebelum itu, pastikan anda buat salinan permit kubur (atau sijil kematian) sebanyak yang mampu untuk diberi pada yang ziarah.

  1. Senaraikan harta milik arwah - kereta, tanah, motorsikal, duit, etc.
  2. Senaraikan juga akaun simpanan, kad kredit (jika ada), bil-bil dan wasiat (jika ada)
  3. Dari senarai di atas, asingkan mana-mana yang telah selesai dibayar dengan yang masih ada tanggungan hutangnya.
  4. Dari senarai di atas, susun surat jaminan, surat tawaran dan apa jua borang, perjanjian yang berkaitan mengikut susunan senarai. Masa ini, perlu ada proses 'failing' agar segala dokumen diletakan bersama dan tidak hilang.
  5. Asingkan juga duit yang diderma oleh orang yang menziarah (jika ada) bagi memudahkan proses lain.

3. Apabila telah selesai senarai atas, anda rilek, solat dan doakan untuk arwah serta doakan agar urusan selebihnya dipermudahkan. Done for today. Jangan kalut dan jangan sibuk nak buat tahlil dulu (sebab takut terpakai duit si arwah atau duit derma.. dosa free je nanti).

4. Hari pertama selepas kematian, tempat pertama anda kena pergi ialah JPN untuk mendaftar dan mendapatkan sijil kematian. Keluar awal pagi ye.

5. Selesai urusan JPN, anda disarankan pergi buat salinan berikut:

  1. Sijil Kematian JPN (beberapa salinan)
  2. Sijil MyKad anda dan kalau boleh, sijil MyKad semua adik beradik anda serta isteri/suami arwah.
  3. Surat beranak anda (yang akan buat semua kerja ni) dan salinan surat beranak isteri/suami arwah.
  4. Surat akuan nikah-kahwin

6. Setelah selesai urusan buat salinan, tempat ke-2 anda patut tuju ialah semua bank-bank yang arwah ada untuk proses penutupan akaun. Namun, ini hanya VALID jika akaun arwah tidak lebih dari RM1000 dan keluarga arwah TIDAK berebut harta :). Jika syarat tidak dipenuhi, anda kena dapatkan jumlah duit didalam situ untuk proses pengisytiharan bagi faraid nanti.

7. Setelah selesai penutupan akaun atau mendapatkan jumlah simpanan, tempat ke-3 patut anda tuju ialah bank dimana arwah masih berhutang untuk dapatkan jumlah hutang dan sekiranya hutang itu ada insuran, maka anda perlu 'instruct' bank untuk mulakan proses claim insuran.

8. Jika arwah ada tabung haji, segera tutup akaun, pindahkan baki ke akaun isteri/suami arwah (jika boleh) dan daftar untuk BADAL haji (jika boleh dan arwah belum pergi)

9. Jika arwah ada menggunakan loan kerajaan seperti loan rumah, maka, anda perlu bawa S&P, surat tawaran, surat kematian, surat beranak anda dan mykad anda (berserta salinan) ke Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) yang terletak di Putrajaya untuk urusan penyelesaian loan rumah.

10. Setelah selesai semua ini, jika arwah masih ada pencen dan arwah masih ada isteri, maklumkan pada bahagian pencen dengan menyertakan surat akuan nikah-kahwin, sijil beranak isteri, akaun bank isteri, kad pesara dan sijil kematian pada bahagian pencen. Macam saya, urusan ini telah dilaksanakan oleh sahabat arwah abah dalam skuad 69 yang juga menjaga bahagian pesara.

11. Akhir sekali, jika tiada loan rumah kerajaan, segera ke Pejabat Tanah, Bahagian Pusaka Kecil untuk proses faraid. Ini boleh dilakukan JIKA harta arwah bawah RM2 juta dan tiada perbalahan keluarga. Jika lebih, anda perlu ke Mahkamah untuk proses faraid. Anda boleh juga menggunakan khidmat ARB, namun ada kos untuk ini.

12. Jika ada loan rumah kerajaan, anda perlu tunggu surat dari BPP sebelum ke Pejabat Tanah, Bahagian Pusaka Kecil untuk proses faraid.

13. Faraid perlu dilaksanakan juga walaupun anda sekeluarga bersetuju berkenaan pembahagian harta. Ini bagi membolehkan ia di 'formal' kan dan di rekodkan. Ada borang perlu diisi untuk memastikan segalanya direkodkan dan tidak menjadi pertikaian kelak.

14. Setelah dapat surat perintah dari Bahagian Pusaka Kecil, maka, segeralah ke BPP untuk urusan rumah berkaitan (tukar nama, pindah hak milik, bayar tunggakan, dsb) serta segeralah ke bahagian JPJ (pindah hak milik kenderaan), dan tempat2 yang perlu berdasarkan senarai anda di nombor 1.

Proses ini akan mengambil masa 3 - 6 bulan bergantung kepada kelengkapan dokumen yang diberi serta tindak balas anda. Pengalaman ini saya kongsi untuk memudahkan anda agar tidak melakukan 2 - 3 kali seperti yang saya alami :).

Semoga arwah abah saya tenang di sana dan segala amalannya diterima Allah.