Tuesday, July 27, 2021

Perjalanan Vaksinasi - Dos 1

Aku antara yang mula-mula daftarkan diri dalam program vaksinasi yang diumumkan kerajaan. Sejak awal bulan 3 lagi, kerana aku mengerti akan kepentingan vaksin dan proses imunisasi dalam menguatkan badan melawan penyakit selain dari asbab kerana aku juga antara yang berisiko tinggi.

Tetapi, saban hari menanti, rasa geram pun dok ada. Tengah tunggu, keluar pula arahan ikut giliran berdasarkan kepentingan. Didahulukan frontliner. Ok lah, walaupun aku rasa aku juga frontliner kerana perlu bekerja dan juga perlu keluar mendapatkan barang keperluan.

Kemudian kerajaan umumkan pula bahawa AstraZeneca (AZ) dikeluarkan dari senarai tawaran vaksin dan dibuka untuk sesiapa berminat Maka berpusu-pusulah orang berebut AZ ini. Aku terpingga lagi sekali. Tapi tak pe, bagi sedapkan hati aku buat research dan katakan pada diriku yang AZ ni risiko kesan sampingan agak tinggi juga untuk orang macam aku ni (nak sedapkan hati).

Lepas tu, laku macam pisang goreng AZ ni, dibuka lagi. Aku pun join sama berebut daftar kat website vaksincovid. Macam cara orang pakai termasuk tukar alamat, bahasa dan sebagainya. Ada yang buka sehingga beberapa gadjet bagi mendapatkan slot. Dan aku kecewa lagi. Lepas tu keluar berita kata AZ masuk dalam senarai program vaksinasi semula. haiya.... tak pa la.. may be ada harapan

Akhirnya, geram punya pasal sebab terasa tidak guna daftar awal tapi tetap yang jenis serbu juga diutamakan, setiap hari aku hantar kat helpdesk MySejahtera tu dan juga post ke FB. Siap tagging nama menteri dan KKM lagi, demi dapatkan slot.

Geram sebab belum dapat appointment

Menuju penghujung Julai, kawan aku pm aku tanya aku dah dapat ke belum. Aku cakap belum. Lepas tu ada yang share bahawa lepas 1 Ogos, boleh walk-in dan jawapan aku pada dia ialah, walaupun belum walk-in tanpa temujanji, pasti ada SOP. Bukan boleh hentam keromo je datang. Mau sesak PPV, terutamanya PPV yang menawarkan vaksin kasta tinggi seperti pfizer (rakyat marhean kata lah yg pfizer ni kayangan, dan sinovac untuk marhaen.. ye lah sebab cara nak handle vaksin ni berbeza). Kemudian, selang beberapa hari, keluar berita bahawa walk-in hanya jika belum daftar atau belum dapat appointment. Sekali lagi orang yang daftar awal terasa dianak-tirikan.

Tapi, aku rasa lega bila sahabat aku bantu dapatkan aku slot menggantikan orang yang tukar tarikh temujanji. Jadi dapatlah aku temujanji yang mengejut. 

Bayangkan, pukul 8 pagi aku semak MySejahtera belum ada lagi (aku jadi tabiat semak pukul 8pg, 12 tengahari, 2 petang dan 4 petang.. takut terlepas pula sebab ada dengar kadang temujanji dapat mengejut). Pukul 10 kawan aku cakap temujanji aku hari ni dan aku tengok tangkap layar skrin yang dia kongsi, temujanjinya pada pukul 9pagi.

Terus on kereta dan redah. Nasib line clear

Apa lagi, mengejut aku tukar pakaian dan bawa barang yang memang tersedia. Nasib baik jalan clear dek kerana PPN @ PKP serta ramai bercuti raya. Aku tiba di PPV UM pukul 10.40. 

Sampai je, park kereta dan aku jalan terus masuk. Tiba di barisan dan cuba scan QR code, asyik gagal. Dapat message kata kena semak tarikh. Hairan juga aku. Last aku jalan sampai ke anggota rela bertugas aku tunjuk temujanji yang betul dan cakap pukul 9 tapi aku dapat temujanji pukul 10. Rela tengok tarikh je dia terus suruh masuk.

Beratur nak masuk

Sekali lagi di depan dewan, aku kena imbas suhu badan dan tunjuk kepada petugas temujanji lagi sekali (berapa kali nak semak daaa sebelum dia beri nombor)

Ok dapat nombor. So far so good. Laju wei

Dapat nombor terus nak duduk, baru rasa nak lunjur kaki, nombor aku kena panggil dan sekali lagi kena tunjuk temujanji di MySejahtera (dah masuk 3 kali tunjuk benda sama dah ni). Cuma di kaunter (ala2 kaunter pengesahan walau sebelum ni dah periksa), dia minta kad pengenalan. Disemak dalam komputer dan kemudian diberi 2 borang untuk aku isi. dan disuruh ke bahagian berikutnya.

Dah kena panggil daa

Sampai ke bahagian berikutnya, aku duduk nak isi (nasib baik aku bawa pen sendiri dan aku pula jenis isi laju.. tak ade nak tulis kemas @ cantik.. janji boleh baca sudah). Elok je habis tulis, nombor aku dipanggil untuk kaunter berikutnya.

Ok. Isi borang dulu. Takat tanda ni, laju je aku isi.

Kaunter berikutnya cuma tanya benda yang biasa tanya, yakni demam ke idak, batuk ke idak, pernah kena covid ke idak.. Aku heran gak sebab dalam borang tu soalan sama. Tapi apa ada hal, aku laju je cakap tak berulang kali dan cakap aku sihat hari ni. Tak sampai seminit, borang aku dicopnya dan aku ke bahagian berikut menanti giliran untuk dicucuk. 

Tunggu nak masuk bilik cucuk vaksin

Baru duduk dan nak usha keliling sambil ambil gambar, nombor aku kena panggil lagi sekali. Terus duduk kat luar bilik cucuk dan disuruh imbas kod QR. Kod QR tu patutnya selepas kena cucuk menandakan aku dah kena cucuk, tapi aku disuruh scan dulu. Apa ada hal, ikut je lah.

Ini lama la sikit. Mungkin orang sebelum aku ni banyak tanya kut. Tiba giliran aku, aku bagi borang dan siap2 angkat lengan baju. Doktor baru cakap, dia tengok lepas tu dia kata "eh dah angkat". Aku senyum je kata "saya dah biasa kena cucuk dengan jarum ni". Lepas tu ditunjuk berapa banyak nak cucuk serta picagari berisi vaksin sehingga 0.5ml (AZ je 0.5ml). Lepas tu masa dia nak cucuk dia cakap "tahan ye, jangan keraskan tangan".. nak je aku cakap "cucuk je doktor, saya dah biasa".. lepas tu rasa nak berlakon jerit2 bikin drama... hahaha... tapi tak jadi sebab rasa malu lak.. hahaha. Nak ambil gambar pun tak sempat. Habis cucuk, dia tunjuk picagari yang dah kosong. Aku kata ok je. Ye lah, aku tengok dia cucuk, tak de nak pandang tempat lain la. Bukan apa, risau jarum tu kecik bebenor, takut tertinggal lak dalam tangan lepas kena cucuk (hahaha)

Lepas tu dia suruh tunggu luar untuk pemantauan. Aku cakap ok. Terus jalan, cari tempat duduk. Baru nak duduk, nombor aku dipanggil lagi. Adoilah.. Ok la, apa pula kali ni.

Pergi ke kaunter berkenaan, dia minta borang serta kad pengenalan serta tunjukan temujanji lagi untuk pengesahan bahawa sistem dah kemaskini status vaksinasi dos 1. Nasib baik dah berubah. Kalau tak, nak pula aku tanya kenapa tengok sampai 4 kali benda sama (hahaha). Dia isi kad (nape lah ko isi manual ni bro) dan serahkan, lepas tu kata boleh balik. Aik?? Aku dengar ramai kata lepas kena cucuk, doktor suruh tunggu dulu, nak kena pantau dulu dalam 15 minit untuk lihat ada kesan sampingan ke idak. Tapi aku boleh terus balik. Ok lah. Aku pun tak rasa apa lagi. Semuanya selesai dalam pukul 10.55. Yang lama ialah sebab aku beratur nak bergambar je.. huhuhu.

Cubaan awal selfie sebelum ada orang bantu

nasib ada orang amik gambar

Memang lancar dan laju. Mungkin sebab aku pergi awal, dan mungkin sebab ramai dah dapat, serta mungkin juga sebab hari sabtu.. dan mungkin juga sebab yang bertugas dah mahir. Apa pun, terima kasih kepada UM dan semua yang bekerja hari itu. Proses lancar dan tamat dalam masa kurang dari 20 minit dari masa aku masuk hingga keluar. Terbaik PPV UM & KKM & yang terlibat.

Sampai kat luar, tengok orang beratur ambil gambar. Majoriti datang berpasangan. Jadi boleh lah suruh pasangan ambil gambar. Aku lak dok fikir sapa nak ambil gambar aku. Tak pa la. Apa ada hal.. aku selfie je.

Tiba giliran aku, dengan selamba bodohnya aku buat aksi selfie. Pasangan belakang aku tawarkan bantuan ambil gambar. Aku pun ok aje. Terus posing 2 kali.

Lepas tu aku ambil gambar dia orang pula (dah agak dah... hahahaha).

On the way balik, aku ambil masa sikit pusing2 UM (padahal aku sesat cari jalan keluar sebab dia tukar laluan kerana nak pastikan satu jalan masuk dan satu jalan keluar lepas vaksin). Lepas tu aku singgat AEON untuk beli barang. Kat AEON, terjumpa member satu ofis. Geng rawang lah katakan.

Geng sepejabat dan se mukim shopping

Lepas selesai, nak keluar AEON, terserempak pasangan yang ambil gambar kat UM tadi. Mula tak perasan, tapi lepas tu detik hati aku macam kenal. Aku pusing balik. Rupanya bukan aku je terperasan. Dia orang tu pun sama. Sama2 pusing balik dan lambai tangan sambil gelak (hahaha.. what a small world)

Balik dari tu, rasa mengantuk lak. Malam sebelumnya aku layan movie, jadi tidur lambat. Cuba nak tidur tapi hari agak panas, tak leh tidur. Rasa lenguh badan.. Orang cakap kesan ubat, tapi aku rasa lenguh sebab berat badan (hahaha.. ye lah, dah masuk kategori obese kan). Tapi malam tu aku rasa panas lain macam. Tidur tidak berbaju aku dan aku minum air kosong banyak.

Selalu 1.5l sehari, ni 2.7l aku minum untuk kurangkan panas badan

Keesokannya juga begitu. Mungkin kesan ubat. Badan rasa panas. Ada rakan-rakan suruh aku makan panadol. Aku cakap aku tak demam, cuma rasa panas. Ramai syorkan dan katanya akan jadi lebih teruk. Kata mereka AZ punya kesan paling teruk. Ok lah, tapi aku tetap tak nak makan panadol selagi boleh. So aku banyakkan minum air (sampai berulang kali ke bilik air) dan mandi lebih lama dari biasa untuk sejukkan badan. Lalu depan orang jual durian, aku tahan sabar je. Ambil bau je dulu. Ye lah, kena hati-hati juga. Durian bersifat panas, dan badan aku pula tengah rasa panas. Kena sabar nampaknya.

Masuk hari ke-2, aku dah tak rasa panas. Petang tu aku terus sambar durian.

Aku ni hantu durian.. tak tahan ambil bau je

4 kilogram. Aku rasa dari segi ulas durian, aku paling banyak makan berbanding dengan ahli keluarga aku yang lain. Ramai juga berpesan bahwa aku ni nak cari bahaya ni. Baru lagi lepas cucuk dah pekena durian. Aku cakap, dah ok, jadi aku belasah aje lah. 

Alhamdulillah, masuk hari ketiga, aku rasa tiada apa-apa yang kritikal. Benar juga kata rakan-rakan yang lain. Dia ikut badan. Hampir semua rakan sepejabat yang ambil vaksin AZ tumbang (demam). Tapi aku, Allah bagi kemudahan pada dos pertama ini. Aku cuma minum air kosong banyak dan mandi air sejuk lama sikit je. 

Dos ke-2 ini tidak lah aku ketahui apa kesannya nanti. Yang pasti, ramai katakan bahawa dos ke-2 akan memberi kesan yang lebih teruk dari yang pertama. Risau juga. Apa pun, kena lalui juga demi membolehkan aku nikmati kebaikan vaksin ini, InsyaAllah.. sekali gus memberi sinar harapan untuk aku rentas negeri balik bertemu keluarga di kampung yang telah hampir 2 tahun tidak bertemu secara fizikal, terutama mak aku.

Pada yang belum kena vaksin, jangan risau. Ibarat kena sengat tebuan, ada yang bengkak, ada yang demam, dan ada yang kemerahan sahaja. Semua itu kehendak Allah, menguji sejauh mana kekuatan kita dan tahap kesyukuran kita serta keyakinan kita pada Allah dalam mengharungi era pandemik ini Ini adalah usaha kita, selebihnya kita berserah pada Allah.