Friday, March 4, 2016

Menyambut bayi di rumah - satu pengalaman hidup

Isteri menangis

Tanggal 29hb Februari 2016 akan menjadi satu sejarah bagi diriku dan keluarga kerana pada tarikh ini, pada pukul 3.30 pagi (lebih kurang), isteriku melahirkan anak dengan dibidankan oleh aku sendiri sambil dipandu oleh isteriku.

Bermula pada pukul 3pagi. Aku dikejutkan oleh tangisan isteriku di bilik air. Lantas aku bangun untuk melihat. Terpandang isteriki sedang dalam kesakitan. Aku memaklumkan ingin bawanya ke hospital, tapi tak sempat dan dia pun dah tak larat nak jalan. Aku maklumkan ingin telefon ambulan, juga katanya tak sempat dan minta aku bantu segera.

Panik juga. Ye lah.. memang hajat nak sambut bayi sendiri, tetapi dengan bantuan nurse dan doktor di hospital.. bukan hanya ditemani anak ke-empat aku (yang turut terjaga dari tidurnya). Dan memang hajat untuk dapat bayi pada tarikh unik yang muncul setiap 4 tahun... maka tahap panik aku memang tinggi, tapi terpaksa maintain cool untuk pastikan aku mampu bantu isteriku.

Bayi disambut sendiri

Aku melangkah masuk bilik air dan tanyakan isteriku apa yang perlu aku lakukan. Dia meminta aku mengurut belakang badannya. Lantas aku lakukan dengan perlahan sambil dia menyiram air panas (suam.. tapi bagi aku.. panas la) ke badannya.

wajah bayi selepas pertama kali dimandikan
Setelah hampir 30 minit, kepala bayi kelihatan dan sekali teran, terus keluar. Aku sempat pegang kepala sahaja bagi mengurangkan impak jatuh (walaupun ketika itu isteriku sedang dalam keadaan duduk mencangkung).

Bila bayi keluar, tali pusatnya masih bersambung. Bayi terus menangis tanpa perlu ditepuk. Sambil isteriku duduk, dia ambil dan bersihkan badan bayi yang diliputi selaput lemak di seluruh badannya. Aku diminta carikan gunting dan barang yang boleh digunakan untuk mengikat tali pusat. Lantas aku ambil gunting kain yang tajam dan baru berserta benang kain. Guntingnya aku letak pada air panas yang mengalir dari water heater untuk men'steril'kannya.

Potong tali pusat

Setelah tali pusat (2 inci dari badan bayi) diikat menggunakan benang dengan kuat agar darah tak mengalir, isteriku menggunting tali pusat yang bersambung dengan kantung asal. Kemudian, isteriku membersihkan bayi sementara aku menyediakan pakaian bayi. Setelah bayi bersih, aku ambil dan pakaikan pampers berserta baju dan membalutnya dengan kain batik. Kemudian aku tidurkan dia sambil dijaga oleh anak ke-4 aku.

Setelah selesai, aku jengok isteriku yang masih terbaring dengan uri yang masih terlekat berserta darah pekat di lantai. Perlahan-lahan aku jirus bahagian darah dan cuba tarik urinya agar keluar. Setelah hampir sejam tidak berhasil, akhirnya aku memaklumkan mertua aku (yang tinggal selang serumah dari rumahku) bahawa aku akan bawa isteriku ke hospital dan meninggalkan 3 orang anak aku yang perlu ke sekolah bersama mereka.

Ke hospital juga akhirnya

Kena masuk anti-biotik
Dengan bantuan abang ipar aku, isteriku dibawa turun dan dimasukkan ke kereta. Aku bawa ke hospital dan ketika tiba di hospital, aku turunkan isteriku dan ketika itu, aku agak panik melihat keadaan isteriku yang pucat dan kejang kerana kekurangan darah. Setelah urusan kemasukkanya selesai dan aku serahkan bayi yang baru lahir pada nurse, aku melangkah ke surau bersama anak ke-4 untuk solat subuh.

Pulang dari surau, aku dipanggil oleh doktor yang merawat dan bertanyakan bagaimana peristiwa itu terjadi serta jumlah darah yang keluar kerana menurutnya, isteriku kehilangan banyak darah. Setelah menceritakan hal yang berlaku, dia memaklumkan bahawa isterik perlu berehat dan sedang di masukkan air dan darah ke dalam badannya. Bayi juga telah dibersihkan, namun, kerana dilahirkan dirumah, maka bayi perlu juga dimasukkan anti-biotik untuk mengelak jangkitan kuman.

Hari terakhir - kuning tapi sekejap
Alhamdulillah
Hampir sejam kemudian, aku dipanggil masuk. Aku tinggalkan anak ke-4 aku pada nurse (terpaksa bawa sebab dia tidak mahu duduk rumah mertua aku dan awal pagi sangat untuk dihantar ke rumah pengasuh). Masuk je, ku lihat isteriku terbaring lesu. Namun, aku bersyukur kerana ambil keputusan yang betul untuk hantarnya segera ke hospital. Setelah semua selesai, aku dimaklumkan oleh nurse bahawa isteriku akan dihantar ke wad. Aku terus inform isteriku yang aku akan pulang dan hantar anak ke rumah pengasuh sebelum datang semula.

Lapor di balai polis

Sebelum tiba, aku terpaksa singgah di balai polis berdekatan rumah untuk buat laporan polis dan mendapatkan salinan laporan. Menjadi satu rules bahawa setiap kelahiran di rumah dan semua perkara termasuk memotong uri/tali pusat dilakukan sendiri (dan bukan bidan dilantik atau doktor), maka laporan polis perlu dibuat. Selain itu, borang kelahiran hanya boleh dikeluarkan oleh JPN dan bukan melalui pihak hospital.

Sampai rumah, perkara pertama ialah bersihkan bilik air dan bersihkan pakaian yang terkena darah. Uri dan darah pekat aku bersihkan dan tanam di belakang rumah.

Alhamdulillah, setelah 3 hari di hospital, isteri dan anakku dibenarkan pulang.

Pengajaran untuk sahabat yang ingin menyambut sendiri bayi di rumah:

Pengetahuan dan Pengalaman


  1. Pastikan anda atau sesiapa dalam keluarga yang tinggal berhampiran ada pengetahuan dan pengalaman. Jika tidak, anda akan panik
  2. Pastikan anda tidak PANIK
  3. Pastikan anda bukan jenis mabuk darah (tak boleh tengok atau bau darah) kerana bau darah bersalin agak kuat. Boleh pening jadinya
  4. Pastikan ada water heater di rumah dan boleh digunakan. Ini untuk memastikan keselesaan isteri kerana dapat membantu membuka ruang dan merenggangkan perut dalam proses bersalin.
  5. Pastikan keluarga ada berdekatan untuk membantu jika ada kecemasan dan anda perlu hantar isteri ke hospital dan anda mempunyai anak lain juga (kebanyakan hospital melarang anak umur kurang 12 tahun untuk masuk ke wad melainkan hospital swasta)


Peralatan


  1. Gunting yang bersih dan tajam (bukan gunting kertas atau gunting rambut) dan disterilkan kena ada.
  2. Benang yang kuat. Benang kain tak boleh pakai sebab tak boleh ikat kejap tali pusat yang kenyal.
  3. Pakaian bayi yang lengkap
  4. Sabun anti-bakteria yang sesuai untuk bayi
  5. Besen kecil untuk bersihkan bayi.
  6. Beg plastik


Apa yang perlu dilakukan.


  1. Jika sempat pergi hospital, lebih baik pergi sebab nanti banyak perkara remeh nak buat.
  2. Jika tak sempat, tapi rasa boleh panggil ambulan, lebih baik panggil.
  3. Jika tak sempat juga, perkara pertama ialah sediakan barang-barang segera
  4. Kemudian, berada di samping isteri untuk membantu dia bersalin
  5. Lepas bersalin, jika tiada kemahiran, jangan potong uri. Terus bawa ke hospital atau panggil ambulan.
  6. Jika yakin, gunakan gunting yang disteril selepas ikat tali pusat (2 inci dari tubuh bayi) untuk potongkan uri.
  7. Jika isteri tidak ada komplikasi lain, bersihkan isteri, bersihkan uri dan masukan ke dalam plastik.
  8. Setelah isteri selesai memakai pakaian, bawa ke hospital bersama bayi untuk urusan selanjutnya.


PERHATIAN


  1. Jangan lakukannya jika isteri anda ada komplikasi seperti kencing manis, darah tinggi, tekanan darah rendah, ada risiko uri terlekat (berdasarkan kelahiran sebelumnya atau doktor sahkan ketika lawatan di klinik semasa mengandung) dan risiko lain.
  2. Jangan lakukannya jika anda tiada keluarga atau jiran yang boleh dipercayai berdekatan rumah
  3. Jangan lakukannya jika anda sendiri tidak berani tengok darah. Kalau sembelih ayam/lembu pun takut, baik tak payah.
  4. Jangan lakukannya jika ada jenis orang yang cepat gelabah/panik teramat.
  5. Jangan lakukannya jika anda tidak larat angkat isteri (jika berlaku yang tidak diduga).
  6. Jangan lakukannya jika anda jenis tak tahan sabar. Baik hantar je ke hospital dan lepas tu tidur sambil tunggu nurse panggil cakap dah selesai.


Itu je pengalaman saya untuk dikongsi bersama. Moga boleh jadi satu ilmu untuk semua.

Thursday, February 4, 2016

Mengajar anak mengaji - satu pengalaman

عَن عُثَمانَ رَضِىَ اللٌهُ عَنهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللٌهِ صٌلَى اللٌهُ عَلَيهِ وَسَلٌمَ خَيُركُم مَن تَعلٌمَ القُرانَ وَعَلٌمَهَ . ) رواه البخاري وابو داود والترمذي والنسائ وابي ماجه هكذا في الترغيب وعزاه الى مسلم ايضا لكن حكي الحافظ في الفضح عن ابي العلاء ان مسلما سكت عنه ).
Dari Uthman r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda, “sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al Qur’an dan mengajarkannya.” (Hr. Bukhari, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah)
Hadith di atas menceritakan akan kebaikan belajar dan mengajar Al-Quran. Namun, dalam lingkup yang lebih luas, aku melihatnya sebagai, belajar/tuntut ilmu dan mengajarnya dan dalam hal ini mendidik anak aku sendiri kerana untuk mengajar orang lain atau berkongsi ilmu dengan orang lain memerlukan pentauliahan atau pensijilan.

Namun, bukan mengajar ilmu pada yang lain yang ingin dikongsi bersama, tetapi pengalaman aku dalam mendidik anak aku. Dari segi ilmu dunia, Alhamdulillah, aku pesan kepada anak-anak aku, jika tidak faham apa yang diajar di sekolah, boleh tanya aku atau isteriku (emak anak-anak aku), aku akan cuba sedaya upaya ajar dan jika ilmu yang aku ada tidak mampu, aku akan cari (google) dan fahaminya sebelum mengajar kembali. Dan Alhamdulillah, Allah beri diriku dan isteriku cahaya di dalam hati yang membolehkan kami memahami sesuatu itu dengan mudah lantas mengajar anak kembali anak ku.

Namun, ilmu Al-Quran bukan sesuatu yang boleh dipelajari begitu sahaja melalui FB, twitter, Youtube, etc. Ia perlu berguru dan yang terbaik ialah ber-talaqqi. 

Aku sebenarnya sudah lama meninggalkan Al-Quran. Kali terakhir aku membuka dan menatap satu persatu helaian Al-Quran ialah ketika mengikuti kursus Diploma Sains Komputer di ITM. Selepas itu, Surah yang aku baca hanyalah Yassin pada malam Jumaat sahaja. Itulah ilmu yang aku kutip secara melihat pada perbuatan orang-orang tua di kawasan rumah aku ketika kecil. Dan apabila aku besar dan belajar, baru ku tahu bahawa yang terbaik ialah baca Surah Al-Kahfi di malam jumaat kerana tiada nas berkenaan baca Yassin namun tiada halangan juga jika ingin lakukan dengan syarat tidak menjadikan ia wajib.

Berbalik kepada pengalaman aku... Ketika anak pertama aku lahir, aku masih berada jauh dari Al-Quran. Kesibukan kerja menyebabkan aku leka. Namun, aku mula mendekatkan diri ketika bekerja di Matrix Power Network. Ketika itu, anak sudah tiga dan anak aku yang pertama sudah berada di darjah satu. Kesedaran itu timbul apabila anak lelaki aku balik dari sekolah dan minta aku dengar bacaannya. Terkesima sekejap sebab aku sendiri kurang pasti betul atau tidak. Aku mula membuka Al-Quran yang dah berhabuk. Huruf-huruf kelihatan kecil je masa tu.

Agak teruk juga bacaan masa tu. Ye lah, dah lebih dari satu dekad tidak membaca. Surah Al-Baqarah sahaja mengambil masa sebulan untuk aku baca kerana merangkak kembali. Alhamdulillah, pihak pengurusan Matrix membantu dengan menyediakan kelas mengaji.. dan aku bersyukur kerana ketika mula mengaji dengan ibuku dulu, aku belajar mengenal huruf dan baris berbanding kaedah sekarang yang mengenal bunyi. Aku menyakinkan isteriku bahawa ilmu agama seperti solat dan mengaji boleh aku didik sendiri tanpa perlu dihantar ke sekolah agama atau guru agama walaupun ketika itu isteriku ada keraguan disitu. Tapi, aku tidak putus semangat. Kelas yang diadakan di tempat kerja serta surau menjadi tempat aku belajar.

Memandangkan aku sudah kenal huruf, maka yang pertama aku betulkan ialah sebutan Makhraj huruf. Dan konsep yang sama juga aku terapkan pada anak aku.

Aku dapat rasakan bahawa konsep yang aku didik anak aku lebih baik berbanding mengenal bunyi seperti diamalkan sekarang. Ini kerana, aku lihat ramai anak-anak yang mengenal bunyi, apabila tidak menyentuh Al-Quran agak lama, pasti akan merangkak semula. Berbanding yang mengenal huruf dan belajar mengeja dahulu. Walaupun agak lambat dan perlahan, tetapi ia tetap masuk ke hati. Dan tidak sukar bagi aku mengajar anak aku walaupun setelah seminggu mereka tidak membaca.

Berbalik kepada hadith di atas. Ketika mula-mula di Matrix, aku mengambil masa 1 jam untuk membaca surah Al-Kahfi dan mengambil masa hampir 2 minggu untuk habiskan Surah Al-Baqarah (baca 20 minit sehari). Kemudian, aku memperbetulkan bacaan dengan mendengar berulang-kali bacaan Qari terkenal dan yang paling aku minati ialah Misyhari Al-Asyari. Ketika berada di Matrix, sesi tadarrus digunakan sepenuhnya untuk melancarkan kembali bacaaan. Dan ketika berada di POS, aku kembali belajar tajwid meningkatkan kelancaran bacaan.

Ilmu yang aku pelajari itu, aku ajar kembali kepada anakku. Dan Alhamdulillah, walaupun sibuk dengan kerja, aku pastikan setiap malam selepas maghrib, aku akan panggil anak aku untuk ajar mereka mengaji. 

Aku mulakan dengan Muqaddam (tidak Iqra) kerana konsep aku terapkan ialah kenal huruf dan dalam masa yang sama, aku perkenalkan konsep Makhraj huruf. Ilmu dan cara sebutan yang betul aku ajar berdasarkan ilmu yang aku pelajari dari beberapa orang guru. Kemudian, aku didik anak aku dengan baris. Memandangkan cara bacaan kini disebut baris atas, baris bawah, etc, aku ajar cara yang sama walaupun aku belajar dulu guna 'fathah', 'kasroh', 'domma', etc. Ini kerana konsep yang ingin diterapkan ialah kebolehan mengeja dan buka nama baris.

Setelah mereka lancar dan boleh mengeja dari satu huruf ke huruf yang bersambung, barulah aku kembali ke Iqra' untuk menasimilasikan dengan corak pendidikan sekarang.

Setelah mereka lancar, aku bawakan surah lazim (semua surah dalam Muqaddam). Dari satu ayat hingga satu surah bergantung kepada kelancaran masing-masing. Ketika ini, aku tidak tekankan tajwid atau panjang-pendek satu-satu bacaan itu. Kenapa? Ini dilakukan untuk tidak membunuh semangat anak-anak aku membaca Al-Quran dan untuk melancarkan bacaan mereka terlebih dahulu. Jika aku tekankan pada tajwid dan hukum 'mad', maka ia akan mengurangkan kelancaran mereka serta sukar untuk aku melihat sejauh mana mereka mampu mengenal huruf dalam baris yang panjang serta membacanya.

Apabila habis Muqaddam, aku kenalkan merekan dengan Al-Quran. Ketika inilah aku memperbetulkan bacaan mereka. Adakalanya bengang juga mereka sebab satu-satu ayat itu aku suruh ulang berkali-kali. Dalam masa yang sama, bergantung kepada kemampuan pernafasan anak-anak aku, ada yang aku habiskan satu ayat dan ada yang aku pecahkan ayat tersebut kepada beberapa potong ayat. Cuma, setakat ini, aku belum ajar anak aku apa nama hukum tajwid itu. Salah satu sebabnya ialah aku sendiri tidak berapa ingat. Namun apa yang aku ajar ialah, apabila ada tempat yang perlu didengungkan aku didik mereka untuk dengungkan serta memaklumkan kenapa. Apabila ia perlu di Qalqalah kan, maka aku didik mereka dan maklumkan kenapa. Malahan, cara sebutan ketika dengung/qalqalah serta pergerakan di lidah juga aku tunjukkan. Ini semua hasil dari ilmu yang dipelajari ketika berada di beberapa syarikat.

Dan kini, Alhamdulillah, bukan sahaja aku sendiri lancar membaca Al-Quran (Surah Al-kahfi habis aku baca dalam 25 minit dan Surah Al-Baqarah kini boleh aku habiskan dalam seminggu dengan bacaan sekitar 20 minit sehari) dan bacaan surah Yassin aku perbetulkan bersama dengan surah-surah lain, namun ada beberapa surah memerlukan aku menukar gear ke gear rendah kerana pertukaran makhrajnya yang berbeza dalam satu-satu perkataan itu. Walau bagaimanapun, anak aku telah aku didik sendiri membaca Al-Quran tanpa menghantar ke mana-mana guru. Dan Alhamdulillah, walaupun anak aku memasuki sekolah agama agak lewat berbanding dengan anak-anak orang lain, tetapi mereka mampu mengharunginya tanpa masalah.

Cuma sekarang aku dah jarang mengajar anak aku mengaji. Bukan kerana tiada masa, tetapi setiap hari anak-anak aku dibebani dengan kerja sekolah (sekolah agama dan sekolah kebangsaan). Hanya pada hari mereka tiada kerja sekolah sahaja aku panggil untuk bertalaqqi dengan ku.

Untuk anak aku, hanya satu sahaja yang aku belum mampu ajar, iaitu tarranum dan juga bahasa arab. InsyaAllah, aku akan belajar juga satu hari nanti untuk membolehkan aku mengajar sendiri anak-anak aku ilmu tarranum dan bahasa arab.

Setakat ini, aku sekali-sekala berkesempatan bertalaqqi dengan beberapa orang ustaz di Masjid Saidina Abu Bakar (Bangsar) untuk memastikan pembacaan aku sempurna sekali gus mampu menyempurnakan bacaan anak-anak aku juga.

Begitulah sedikit pengalaman aku dalam mengajar anak aku ilmu membaca Al-Quran.

Monday, February 1, 2016

Perjalananku untuk mendapat Ijazah Sarjana (MSc)

Sebenarnya, dah lama rancang untuk berkongsi pengalaman aku dalam mengejar segulung kertas yang dinamakan Ijazah Sarjana @ Master of Sciences a.k.a MSc.

Perjalanan MSc ku bermula pada tahun 2006.. ketika ramai memanggil isteriku dengan gelaran Dr (ye lah.. orang kelulusan Medical Degree). Sifat cemburu sebab aku hanya orang biasa membuatkan aku aim to surpass my wife dalam pendidikan. Lagipun, aku rasa, ada satu bahagian dalam hidup ini tidak lengkap.. iaitu ilmu.

Peluang bekerja di MIMOS pada 2008 telah membuka satu jalan untuk aku mengapai cita-cita aku, iaitu bergelar academician dalam bidang yang aku minati, yakni Software Engineering & Information Security. Setelah setahun di MIMOS, aku memohon kebenaran untuk sambung belajar. Sepatutnya aku tidak boleh sambung kerana belum cukup haul lagi (perlu 2 tahun bekerja dengan KPI >= 3 setiap tahun). Namun, atas sokongan bos @ En Haris Aziz (thanks bos), aku diluluskan untuk sambung belajar.

Mulanya pening juga sebab tidak ada idea nak buat apa, kat mana nak sambung dan nak ambil course-work atau research. Lepas kaji, aku ambil research kerana kesibukan bekerja dan bekerja dengan institusi R&D negara memerlukan aku membuat penyelidikan. Perkara kedua ialah universiti yang aku perlu pilih. Setelah melihat kepada kemampuan diri dan keperluan universiti, aku pilih UiTM. Ketika aku memilih UiTM, ramai yang bertanya kenapa? Bukan sahaja UiTM dihatiku (dari diploma hingga sarjana muda dan kini sarjana pula), tetapi kerana ia menawarkan flexibility yang diperlukan oleh seseorang yang bekerja dengan workload yang tinggi. Selain itu, yurannya dan juga keperluannya juga bersesuaian dengan kemampuan kewangan aku. Dan kini, aku tidak menyesal memilihnya :).

Perkara berikutnya ialah mencari idea untuk penyelidikan. Pada mulanya aku merancang untuk buat satu framework untuk laman sesawang. Namun setelah memilih supervisor, aku memasuki deep into software dengan mencari punya kenapa software masih belum selamat walaupun pelbagai akta, framework, analisis, firewall, anti-virus, anti-malware, etc di bina. Susah juga nak cari dan menyelesaikan permasalahan ini. Di kala sahabat aku ramai yang melakukan penyelidikan sama dengan apa yang dilakukan ditempat kerja, aku pula melakukan perkara sebaliknya. Di tempat kerja, aku ialah software engineer cum researcher dalam bidang software engineering, manakala di peringkat sarjana, aku menyelidik punca sesuatu programming language itu menimbulkan masalah.

Hasil kerja tesis aku. Dari kiri ke kanan (2009, 2010, 2011, 2013, 2015 - tahun tesis diluluskan)
Setelah hampir 6 tahun bertungkus-lumus, dengan bertukar kerja 3 kali, serta pernah tidak bekerja selama 4 bulan untuk menyiapkan eksperimen dan tesis dan pelbagai halangan lain sehingga membuatkan aku hampir putus asa (ye lah, dah 6 tahun mengadap benda yang sama... letih oo), akhirnya, tesis aku siap pada tahun 2014 dan pada 2015 aku viva sebelum menerima ijazah pada penghujung tahun. Hampir setiap tahun tesis aku berubah... dari 6 eksperimen, tinggal 4 sahaja yang aku pamerkan.. lagi 2 simpan hehehe. Dari aku hanya nak evaluate static analysis tool, kepada menghasilkan sesuatu yang  baru dan cukup berguna pada masyarakat, iaitu taxonomy.

Dan paling manis ketika aku menerimanya, aku terima pada hari lahir aku.

Apa yang aku pelajari dari perjalanan ini:

  1. Jangan putus asa. Adakalanya benda yang baik lambat sampai tetapi bila sampai, ia jadi manis sekali nikmat itu.
  2. Sentiasa melihat dari pelbagai sudut dan sudut paling bagus ialah sudut positif
  3. Sentiasa bersabar
  4. Sentiasa memohon petunjuk dari Allah
  5. Apabila membaca sesuatu itu, jangan baca itu sahaja, baca juga pandangan lain yang merujuk atau mengkritik apa yang dibaca itu
  6. Apabila menerima sesuatu itu, lihat siapa yang bercakap dan dari sudut mana dia bercakap.


Ini sebahagiannya... Dan perjalanan ini mengajar aku sesuatu yang paling berguna sekali, yakni, sentiasa percaya pada Allah dan bahawa sesuatu itu bukan rezeki kita jika Allah takdirkan bukan, maka redhalah apa yang ada.

Nasihat aku pada yang akan lanjutkan pelajaran. Ingat satu sahaja, apa tujuan kita buat Master/PhD. Jika sekadar nak dapat segulung kertas, maka itulah yang kita akan dapat. Tapi jika kita hendak ilmu, redha Allah dan manfaat ilmu untuk masyarakat, maka, insyaAllah, setiap perjalanan hatta mengambil masa yang lama sekalipun, akan bermanfaat....

Projek Kemas Bilik - December 2015

Sebelum kemas
Masa penghujung cuti sekolah tahun lepas, selepas pulang dari kampung, saya mengambil cuti panjang (seminggu) sehingga ke awal tahun 2016. Tujuannya ialah untuk mengemas satu bilik yang tidak ubah seperti stor sementara .. hehehe...

Dalam proses SISIH
Sebenarnya, dah lama saya berhasrat nak kemas. Tetapi asyik menangguhnya. Bermula dengan alasan untuk jadikan bilik saya menelaah pelajaran, sehingga la selepas habis pengajian Master saya. Semuanya dijadikan alasan kerana kekeringan idea untuk meletak barang-barang tersebut.. tambahan pula stor bawah tangga juga penuh sesak.

Namun, dengan ketibaan anak ke-lima semakin hampir, ditambah pula keperluan untuk memisahkan anak ke-empat dan juga abangnya, maka, Projek Kemas Bilik telah terpaksa diaktifkan.

Dalam proses SISIH
Bermula dari hari isnin, saya dan anak-anak telah menyisihkan satu persatu barang-barang serta buku-buku yang saya rasa perlu. Hampir sehari suntuk juga menyisihnya.

Kemudian, pada hari kedua, saya berhenti sekejap untuk mencari barang keperluan seperti rak DIY dan kotak untuk menyusun barang-barang yang masih berguna atau 'akan' diguna-pakai nanti (sayang lagi tu).
Anak-anak membantu menyusun
Hari terakhir penyisihan.
Hari ke-empat... dah clear semua.
Hari ke-tiga, proses kemas kini diteruskan dengan memindahkan semua barang yang berguna ke bilik bawah untuk disusun didalam stor. Barang-barang didalam stor juga saya keluarkan bersama anak-anak. Kemudian, rombakan 'kabinet' dilakukan. Satu persatu barang disusn-atur semula dan dimasukkan didalam kotak bagi memudahkan pencarian dan penyusunan kemudiannya.

Hari ke-empat - rehat panjang.. penat oooo.

Hari ke-lima, penyusunan semua bilik dan pemasangan langsir dan kipas dinding.
Almari anak-anak
Bilik anak lelaki
Susunan baju sekolah

Akhirnya... Alhamdulillah... siap juga projek yang ditangguh sekian lama ini. Dan kini, semua bilik yang diguna-pakai 100%, kemas, susunan yang lebih teratur dan selesa :).

Stor pun dan kemas.. senang nak ambil barang dan tersusun. :)

Modal - ~RM1500 (rak 6 kaki + 4 almari + 3 almari terbuka + 1 Kipas dinding + Langsir dan hanger)

Moral: Tak perlu berbelanja besar untuk sediakan bilik anak-anak dengan almari extravaganza.. cukup sekadar yang perlu dengan lakukan sendiri (DIY) semua pemasangan :).

Friday, January 15, 2016

Tips kepada mahasiswa untuk kekal mampu tangani cabaran kekangan kewangan

10 tips yang saya pernah amalkan ketika menghadapi cabaran sebagai mahasiswa dengan pinjaman cukup-cukup dan bank FAMA (abah saya polis bergaji 1. Pastikan anda hanya guna handphone tanpa data.. handphone ni murah je.. dalam RM69 dan baterinya tahan seminggu. Saya masa belajar hanya pakai public phone dan telipon mak abah 3 hari sekali dengan kos 30 sen sekadar tanya kabar dan beritahu keadaan saya sahaja.

2. Gunakan internet yang disediakan oleh pihak universiti. Saya selalu jadikan library, fakulti dan makmal tempat lepak sampai malam...

3. Jadikan puasa sunat sebagai satu kebiasaan.. selang sehari kalau boleh... saya buat isnin khamis je.. itu je yang termampu .. hehehe

4. Makan pagi nasi goreng - amik satu pinggan penuh dan teh 'O. Skip makan tengahari dan makan malam pada pukul 5 petang atau 6 petang.. Ni makan nasi + telur + sambal (sekali sekala ada ayam, ikan atau daging) .. saya pernah lihat dan pernah cuba makan cara Indon (nasi selambak banyak + ikan bilis + telur + timun + sambal belacan kaw = RM 2.50) .. kenyang beb

5. Beli Megi satu set (jgn beli satu pek je.. ) lagi murah. Malah, saya jual kembali pada rakan2 yang memerlukan megi pada waktu malam .. Dapat untung lagi bro..

6. Beli roti gardenia buat stok malam.. beli sebuku, boleh tahan 3 - 4 hari (bergantung pada tahap lahap anda) .. cicah milo.. ni makan waktu tgh malam or awal pagi masa bangun belajar

7. Selalu jadikan masjid dan surau sebagai tempat lepak.. selalunya sini ada makan free terutamanya malam jumaat, atau hari orang buat tahlil or majlis ilmu... :) .. confirm ok bro..

8. Kalau universiti tu ada fakulti perhotelan.. jadikan bebudak hotel ni kawan baik korang.. dia orang selalu bawa lebihan makanan.. Roomate saya masa diploma budak chef.. masa degree pula kawan dengan budak hotel.. selalu juga dapat makan free..

9. Tinggalkan AWEK yang selalu ajak keluar dan tinggalkan ROKOK..

10. Jadikan kaki sebagai kenderaan utama. Dari diploma sampai degree, saya bergerak dari satu tempat ke satu tempat, dari rumah/bilik ke fakulti dengan berjalan kaki.. tu yang kurus tu (la ni heavyweight).

Sekadar perkongsian je :)

Wednesday, December 23, 2015

Meraikan Rezeki bersama Keluarga

Alhamdulillah, setelah bertungkus-lumus hampir 6 tahun menempuh pelbagai halangan, suka-duka dan cabaran, akhirnya aku berjaya menamatkan pengajian dalam peringkat sarjana di dalam bahagian IT pada tahun ini. Aku viva pada bulan 3 dan berjaya hantar thesis pada bulan 8 dan seterusnya menerima ijazah sarjana pada bulan 11 tepat pada tarikh aku dilahirkan. Sesuatu yang unik dan tidak dirancang tetapi dengan ketentuan Illahi. Alhamdulillah.

Begitu juga dengan isteriku yang berjaya vivanya pada pertengahan bulan lepas, sekaligus merupakan satu pencapaian yang patut diraikan bersama. Ditambah pula pada 3 minggu berturut-turut, keluarga aku diuji dengan denggi (2 orang anak aku berturut-turut), disusuli dengan ibuku dimasukkan ke hospital.. dan akhirnya, dengan izinNYA, anak-anak ku kembali sihat dan ibu ku juga turut sihat dan dibenarkan pulang, maka ia satu rezeki tidak ternilai yang patut dikongsi bersama.

Maka, setelah hampir beberapa kali tertangguh, hasrat untuk berkongsi kegembiraan tercapai. Tempat dituju ialah Kedai Bob Lokman & Keluarga. Pekena Nasi Kerabu Kambing Bakar .. walaupun yang makan kambing tu 2 - 3 orang je.. hehehe... Aku satu keluarga (sebelah isteri) menjamu selera (sarapan pagi) di situ.

Hmm... lepas ni nak bawa family sebelah aku lak.. kena dan mesti .. kena balik kampung segera ni... huhuhu

Wednesday, August 26, 2015

Kenapa Aku Nak Jadi Data Scientist...

Kenapa ye? Ini jawapannya :)



Maafkan saya di atas suara yang kurang macho... heeheh