Pagi ni family aku sarapan mihun goreng pucat dengan bahan biasa; iaitu telur dan lebihan nugget ayam semalam. Anak2 aku kurang selera tengok. Aku lak, tambah kicap dan cari cili sikit.. Lepas tu minta anak2 hargai makanan. Aku yakin, seperti anakk-anak aku, ramai parent pun dah pening terutama dengan kerenah anak2 yang sudah biasa makan mewah (sekali sekala makan western, McD, KFC, dan sebagainya), tetapi secara tiba-tiba terpaksa belajar makan makanan yang biasa-biasa. Lalu aku kongsi dengan mereka untuk terapkan nilai syukur. Aku cakap, masa abah kecik, kalau nak makan ayam, mak tok (mak aku) akan bagi RM2 untuk belikan tulang2 ayam baki jiran buat perapan sate. Dalam la dalam sekilo rangka ayam dan mak tok akan buatkan sup. Itulah lauk abah makan sehari tu dengan nasi kosong. Tok wan tak bagi sebab rasa malu, dan abah hanya beli dan mak tok masak bila tok wan kena buat intipan (abah aku dulu PDRM bahagian SB dan JSJ). Ada masa (dan kebanyakkan masa, abah makan nasi berlaukan telur goreng dan garam. Anak2 tanya, tak masin ke. Aku cakap, masin atau tidak, itu je yang mampu. Itu pun abah sekeluarga bersyukur sebab ada makan. Sebab tu abah, mama korang masak apa pun, abah makan tak berkira. Kalau rasa tawar, abah gigit cili bagi bangkit rasa tu. Korang tau tak, masa abah gi solat kat masjid negara (masa kerja buat projek TM 10 tahun dulu), abah selalu nampak Indon dan Bangla ambil nasi penuh sepinggan + sambal belacan banyak dan telur mata. Itu je dan laju dia orang makan.
Kesimpulannya, aku pesan pada anak2 aku, makanlah apa yang ada dan ajar lidah untuk makan apa sahaja yang orang hidang depan mata walaupun sedikit. Penat mak kau masak. Penat abah dan mama kerja cari duit untuk bagi korang makan. Belajar bersyukur.
Kemudian aku ingatkan mereka bahawa ada tempat2 dah kena perintah berkurung. Dan mereka hanya dibekalkan dengan makanan asas seperti beras, telur, teh dan susu sahaja (mungkin ada lain dan aku tak berapa ingat). Mereka kena hadap apa yang disediakan tu selama 14 hari. Korang rasa macam mana? Jadi belajar bersyukur dan terima apa yang ada agar bila tiba masa kita, kita tidak akan risau. Makan je.. buat isi perut dan tidak lapar. Itu je.
Dan selepas itu, semua anak-anak aku habiskan mihun goreng dalam pinggan mereka.... :)
Korang tentu bosan kan??? Mak2 pula dah pening nak sediakan menu apa. Kalau yang buat catering atau jaga dewan makan, menu mingguan dewan makan tu boleh guna pakai kat rumah :)
Ok. Pada yang bosan... ada pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan. Pada kaki gym dan runner, naik turun tangga atau lompat skipping di parking keta pun ok. Tak pun buat 5min workout yang boleh burn kalori lebih banyak dan lama dari berlari.
Pada yang ada anak, yang berkemampuan, boleh belajar online atau melawat zoo maya atau cuba AR dari Google. Kat sini https://9to5google.com/2020/03/28/google-ar-animals/ boleh belajar dan cuba macam mana nak tengok.
Gambar sebelah aku try shark ... hahaha seronok anak aku main.
Pada yang tak berkemampuan, juga ada banyak boleh dibuat seperti Murajaah dan Tashmiq bersama anak-anak. Macam aku, agak beruntung sebab 2 orang anak aku di aliran Tahfiz. Sorang di Tahfiz A'liy bawah SRITI, manakala seorang lagi di Maahad Integrasi @ Karimiyah Integrated Islamic School @ KIIS (https://www.facebook.com/karimiyah.iis/)
Ini hari pertama anak aku tashmiq dengan guru hafazannya, Ustaz Muhammad. Jazakallah khairan Ya Ustaz.
Lepas hari pertama, setiap hari dia ber-murajaah dengan mak dia sebab nak pastikan tak tergagap masa buat VC dengan ustaznya. 3 Surah; Yaasiin, Al-Jumuah, dan satu lagi aku tak ingat... habis dihafaznya. Alhamdulillah. Jangan lupa ye nak... Habis 3 surah tu, dia ulang murajaah agar bacaan diperbetulkan tajwid dan makhrajnya bagi perfect.
Lagi, apa aktiviti boleh dilakukan. Mengemas rumah la bro. Yang ada tanah kat depan, belakang atau tepi rumah, boleh la berkebun ke sapu daun kering ke... pa pe la.. :)
Hari ni, aku buat kerahan tenaga.. bersihkan kipas dan aircond rumah. Berpeluh gak beb. Tengoklah aku buat timing.. 2 jam.. 1.6k kalori beb.. nak recover perlu rehat 15 jam tu... hehehe. Apa aktiviti korang??
Agak lama juga aku tidak menulis di blog ini. Dulu rajin juga mencoretkan perjalanan hidup ini.
Hari ini aku sekadar ingin berkongsi cerita pasal makan. Semalam aku beli Roti Paratha Kawanku. Memang kegemaran keluarga menggantikan roti canai jika tidak berkesempatan ke kedai mamak. Lagipun ia membantu mengurangkan kolestrol juga sebab isteri aku akan masak tanpa minyak. Letak je as pan.
Aku suka roti bawang, tapi sejak PKP @ #perintahkawalanpergerakan #rmo #mco #pkp, tak banyak pilihan tinggal.
Roti ni memang sedap dimakan panas-panas. Kena pula dengan peneman dia seperti kari kambing, kari ayam, sardin, sambal ikan bilis, dan gulai ikan temenung. Anak aku pula suka dengan susu dan gula. Apa pun pilihan, memang kelas la sebagai sarapan mahupun minum petang.
Kali ni isteri aku panaskan je gulai ikan temenung lebihan makan malam semalam. Pekat la kuah dia kan. Kena dengan roti paratha kawan panas.. fuuh.. memang tip top la.
Lepas makan, aku pun bercerita.. Aku cakap la yang kat Kedah memang orang kedah suka ni, tapi ikan temenung yang depa pakai kat kedai selalunya kecik sikit.
Kemudian anak lelaki aku cakap.. "Ye lah, ider pernah makan dengan abah. Masa tu kita pergi dengan mak tok, tok wan.." .."Eh, tok wan je lah. Masa tu abah, ko dan caca balik kampung tengok mak tok. Mak tok masuk spital abah bawah sebab kaki mak tok sakit. Pastu pepagi kita pergi cari roti canai dengan tok wan. Korang oder roti milo. Pening pak cik jual roti canai tu sebab tak pernah buat." .. "Eh ye lah.. dengan caca.. lepas tu kita orang makan roti kosong je"... Kannn.. Semoga Allah jadikan kubur abah @ tok wan salah satu taman2 syurgaMU Ya Allah. Itu lebih 4 tahun dahulu.
Kemudian ider kata, kita pun pernah makan roti canai dengan sambal ayam pedas tu. Ya, masa tu abah bawa ko, caca dan yot ke Penang. Masa tu abah ada kerja. Korang ikut abah, naik feri. Pagi2 kita pergi sarapan kat kedai mamak berdekatan HQ PDRM. Depan kedai tu ada bakery yang masih hidup dari abah kecik lagi.
Selain dari situ, abah @ tok wan juga suka makan koay teow th'ng. Dulu kedai dia kat pasar padang tembak @ FRU. lepas tu pindah ntah kemana pun aku pun tak tau.
Inilah coretan ringkas mengimbau kenangan lalu di kala menikmati makanan kegemaran orang tua aku.
Kepada rakan2 yang masih punya makanan dan masih mampu makan. Hargailah makanan anda. Jangan membazir serta jangan tamak.
Semoga Allah menerima ibadah kita semua, mengampuni dosa kita dan membantu kita melalui zaman kesukaran ini.
Akhir zaman ini, kita dikejutkan dengan pelbagai jenis penyakit yang baru dan ganjil. Malahan, muktahir ini, virus-virus sudah semakin berkembang dan berevolusi sekaligus menyebabkan pelbagai anti-virus dan ubatan sudah tidak mampu membendung penularan penyakit era baru ini.
Gambar virus melalui mikroskop (sekadar hiasan)
Bermula dengan HIV, Ebola, H1N1, H5N1 dan yang terbaru pada tahun 2020, seisi dunia dikejutkan dengan penularan virus selsema baru yang dikenali dengan nama Novel Coronavirus. Bermula di daerah Wuhan, China, virus ini semakin berkembang dan menular seluruh pelusuk dunia.
Dari perspektif Islam pula, perkara ini bukan lah baru kerana sudah terdapat pelbagai peringatan dari Rasul S.A.W melalui hadith dan ayat Al-Quran. Antaranya:
عن عبد الله بن عباس
أن عمر بن الخطاب خرج إلى الشام حتى إذا كان بسرغ لقيه أهل الأجناد أبو عبيدة بن الجراح وأصحابه فأخبروه أن الوباء قد وقع بالشام
قال ابن عباس فقال عمر ادع لي المهاجرين الأولين فدعوتهم فاستشارهم وأخبرهم أن الوباء قد وقع بالشام فاختلفوا فقال بعضهم قد خرجت لأمر ولا نرى أن ترجع عنه
وقال بعضهم معك بقية الناس وأصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم ولا نرى أن تقدمهم على هذا الوباء فقال ارتفعوا عني
ثم قال ادع لي الأنصار فدعوتهم له فاستشارهم فسلكوا سبيل المهاجرين واختلفوا كاختلافهم فقال ارتفعوا عني ثم قال ادع لي من كان هاهنا من مشيخة قريش من مهاجرة الفتح فدعوتهم فلم يختلف عليه رجلان فقالوا نرى أن ترجع بالناس ولا تقدمهم على هذا الوباء فنادى عمر في الناس إني مصبح على ظهر فأصبحوا عليه
فقال أبو عبيدة بن الجراح أفرارا من قدر الله فقال عمر لو غيرك قالها يا أبا عبيدة وكان عمر يكره خلافه نعم نفر من قدر الله إلى قدر الله أرأيت لو كانت لك إبل فهبطت واديا له عدوتان إحداهما خصبة والأخرى جدبة أليس إن رعيت الخصبة رعيتها بقدر الله وإن رعيت الجدبة رعيتها بقدر الله
قال فجاء عبد الرحمن بن عوف وكان متغيبا في بعض حاجته فقال إن عندي من هذا علما سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول:
” إذا سمعتم به بأرض فلا تقدموا عليه وإذا وقع بأرض وأنتم بها فلا تخرجوا فرارا منه”
قال عمر بن الخطاب فحمد الله ثم انصرف
Hadis Abdullah bin Abbas r.a:
Sesungguhnya Umar bin Al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan para pengikutnya.
Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan para sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam.
Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para sahabat Rasulullah s.a.w, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini.
Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para sahabat Muhajirin.
Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini.
Lalu Umar menyeru di tengah-tengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah?
Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain.
Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga?
Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini.
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya."
Mendengar kata-kata itu Umar bin Al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu.
Apa yang dilakukan oleh Umar AL-Khattab itu selari dengan perintah Allah.
Secara amnya, sebagai seorang Islam, kita disarankan kembali kepada NYA dan amalkan apa yang telah Rasul S.A.W ajarkan, dan berpeganglah kepada AL-Quran dan Sunnah Baginda Rasul S.A.W dan yakinlah bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali mati.
'Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat, penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepada-Nya.'
Hadis Rasulullah s.a.w.
Dari Jabir R.A.:
'Katanya sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: 'Bagi Setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai untuk sesuatu penyakit, akan sembuh dengan izin Allah'.
Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad.
Dari Usamah bin Syarik:
'Seorang Arab Badawi bertanya Rasuluilah s.a.w. (apabila beliau dihinggapi penyakit),
wahai Rasulullah s.a.w. adakah perlu kami berubat, kata Rasulullah, 'Ya', ; Wahai hamba Allah hendaklah kamu berubat; maka sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan ada penawarnya'
Hadis Riwayat At-Tirmizi (H. Hassan, Sahih)
Langkah berjaga-jaga bagi mencegah sebarang jangkitan virus yang merangkumi:
Cuci tangan, terutamanya selepas sentuhan langsung dengan orang sakit dan persekitarannya,
Menutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin,
Memasak daging dan telur dengan teliti dan bersih, dan
Menghindari hubungan rapat dengan sesiapa yang menunjukkan gejala penyakit pernafasan seperti batuk dan bersin.
Selain dari kebersihan diri, pemakanan yang halal dan bersih, serta menghindari dari tempat jangkitan, masyarakat yang beragama Islam juga disarankan berdoa. Antara doa yang dikongsi oleh para alim-ulama bersandarkan kepada hadith ialah:
1. Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
(Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” [Riwayat Abu Daud (5088)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh hadith ini adalah hasan]
Maksudnya: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu:
(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta)” nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudharatkan kamu.” [Riwayat Muslim (2709)]
3. Daripada Ibn Umar RA, bahawa aku mendengar Nabi SAW bersabda:
(Ya Allah aku memohon kepada-Mu keselamatan di dunia dan akhirat”. [Riwayat Abu Daud (5074)] [Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh sanad hadith ini adalah sahih]
Menurut Syeikh Abu al-Hasan al-Mubarakfuri maksud keselamatan (العافية) di dalam tersebut adalah keselamatan daripada perkara-perkara merosakkan agama serta kesusahan dunia. Dikatakan juga, keselamatan daripada penyakit-penyakit dan bala-bala. [Lihat: Mir’ah al-Mafatih, 139/8]
(Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak[1], gila, kusta[2] dan penyakit-penyakit yang buruk)”.” [Riwayat Abu Daud (1554)][Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’outh sanad hadith ini adalah sahih]
Selain dari berdoa, ada beberapa selawat juga dianjurkan. Antaranya:
Selawat Syifa
Selawat Tafrijiyyah
** Nota: Ada sebilangan ulama menafsirkan dua selawat di atas sebagai bidaah kerana berpaksikan pada manusia. Namun, saya berpegang pada bahawa ia usaha dan selawat ke atas baginda Rasul S.A.W memang dianjurkan. Bergantung kepada niat dan percayalah bahaya kuasa itu ditangan Allah sahaja dan tiada pada makhluk yang lain.
Tahun ini, aku akan cuba buat posting menggunakan jawi sebanyak mungkin. Ini bagi menyambut saranan Tuanku Permaisuri Agong untuk memartabatkan tulisan persekutuan tanah melayu yang asal dan juga bahasa ibunda Malaysia.
Semoga menjadi satu titik perubahan pada tahun ini.
Aku juga ingin mengajak rakan-taulan untuk bersama menggunakan tulisan jawi ini kerana ia adalah lambang jati diri orang tanah melayu sejak datangnya Islam ke tanah ini.
Sebagai permulaan, ayuh, gunakan lah dua aplikasi (hanya untuk android sahaja) ini. Untuk yang menggunakan internet browser atau peranti Apple, boleh gunakan link ini (http://www.ejawi.net/converterV2.php) sebagai permulaan.
Alhamdulillah, setelah lama tidak menulis, aku kembali berkongsi pengalaman hidup dan keluarga. Kali ini, pengalaman dan ilmu ini ingin dikongsi oleh anak lelaki dan anak perempuan aku.
Tidak banyak boleh aku perihalkan kerana mereka lebih pakar. Hanya gambar dan video sebagai petunjuk. Video lengkap tips akan dikeluarkan nanti.