Thursday, February 4, 2016

Mengajar anak mengaji - satu pengalaman

عَن عُثَمانَ رَضِىَ اللٌهُ عَنهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللٌهِ صٌلَى اللٌهُ عَلَيهِ وَسَلٌمَ خَيُركُم مَن تَعلٌمَ القُرانَ وَعَلٌمَهَ . ) رواه البخاري وابو داود والترمذي والنسائ وابي ماجه هكذا في الترغيب وعزاه الى مسلم ايضا لكن حكي الحافظ في الفضح عن ابي العلاء ان مسلما سكت عنه ).
Dari Uthman r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda, “sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al Qur’an dan mengajarkannya.” (Hr. Bukhari, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasai, Ibnu Majah)
Hadith di atas menceritakan akan kebaikan belajar dan mengajar Al-Quran. Namun, dalam lingkup yang lebih luas, aku melihatnya sebagai, belajar/tuntut ilmu dan mengajarnya dan dalam hal ini mendidik anak aku sendiri kerana untuk mengajar orang lain atau berkongsi ilmu dengan orang lain memerlukan pentauliahan atau pensijilan.

Namun, bukan mengajar ilmu pada yang lain yang ingin dikongsi bersama, tetapi pengalaman aku dalam mendidik anak aku. Dari segi ilmu dunia, Alhamdulillah, aku pesan kepada anak-anak aku, jika tidak faham apa yang diajar di sekolah, boleh tanya aku atau isteriku (emak anak-anak aku), aku akan cuba sedaya upaya ajar dan jika ilmu yang aku ada tidak mampu, aku akan cari (google) dan fahaminya sebelum mengajar kembali. Dan Alhamdulillah, Allah beri diriku dan isteriku cahaya di dalam hati yang membolehkan kami memahami sesuatu itu dengan mudah lantas mengajar anak kembali anak ku.

Namun, ilmu Al-Quran bukan sesuatu yang boleh dipelajari begitu sahaja melalui FB, twitter, Youtube, etc. Ia perlu berguru dan yang terbaik ialah ber-talaqqi. 

Aku sebenarnya sudah lama meninggalkan Al-Quran. Kali terakhir aku membuka dan menatap satu persatu helaian Al-Quran ialah ketika mengikuti kursus Diploma Sains Komputer di ITM. Selepas itu, Surah yang aku baca hanyalah Yassin pada malam Jumaat sahaja. Itulah ilmu yang aku kutip secara melihat pada perbuatan orang-orang tua di kawasan rumah aku ketika kecil. Dan apabila aku besar dan belajar, baru ku tahu bahawa yang terbaik ialah baca Surah Al-Kahfi di malam jumaat kerana tiada nas berkenaan baca Yassin namun tiada halangan juga jika ingin lakukan dengan syarat tidak menjadikan ia wajib.

Berbalik kepada pengalaman aku... Ketika anak pertama aku lahir, aku masih berada jauh dari Al-Quran. Kesibukan kerja menyebabkan aku leka. Namun, aku mula mendekatkan diri ketika bekerja di Matrix Power Network. Ketika itu, anak sudah tiga dan anak aku yang pertama sudah berada di darjah satu. Kesedaran itu timbul apabila anak lelaki aku balik dari sekolah dan minta aku dengar bacaannya. Terkesima sekejap sebab aku sendiri kurang pasti betul atau tidak. Aku mula membuka Al-Quran yang dah berhabuk. Huruf-huruf kelihatan kecil je masa tu.

Agak teruk juga bacaan masa tu. Ye lah, dah lebih dari satu dekad tidak membaca. Surah Al-Baqarah sahaja mengambil masa sebulan untuk aku baca kerana merangkak kembali. Alhamdulillah, pihak pengurusan Matrix membantu dengan menyediakan kelas mengaji.. dan aku bersyukur kerana ketika mula mengaji dengan ibuku dulu, aku belajar mengenal huruf dan baris berbanding kaedah sekarang yang mengenal bunyi. Aku menyakinkan isteriku bahawa ilmu agama seperti solat dan mengaji boleh aku didik sendiri tanpa perlu dihantar ke sekolah agama atau guru agama walaupun ketika itu isteriku ada keraguan disitu. Tapi, aku tidak putus semangat. Kelas yang diadakan di tempat kerja serta surau menjadi tempat aku belajar.

Memandangkan aku sudah kenal huruf, maka yang pertama aku betulkan ialah sebutan Makhraj huruf. Dan konsep yang sama juga aku terapkan pada anak aku.

Aku dapat rasakan bahawa konsep yang aku didik anak aku lebih baik berbanding mengenal bunyi seperti diamalkan sekarang. Ini kerana, aku lihat ramai anak-anak yang mengenal bunyi, apabila tidak menyentuh Al-Quran agak lama, pasti akan merangkak semula. Berbanding yang mengenal huruf dan belajar mengeja dahulu. Walaupun agak lambat dan perlahan, tetapi ia tetap masuk ke hati. Dan tidak sukar bagi aku mengajar anak aku walaupun setelah seminggu mereka tidak membaca.

Berbalik kepada hadith di atas. Ketika mula-mula di Matrix, aku mengambil masa 1 jam untuk membaca surah Al-Kahfi dan mengambil masa hampir 2 minggu untuk habiskan Surah Al-Baqarah (baca 20 minit sehari). Kemudian, aku memperbetulkan bacaan dengan mendengar berulang-kali bacaan Qari terkenal dan yang paling aku minati ialah Misyhari Al-Asyari. Ketika berada di Matrix, sesi tadarrus digunakan sepenuhnya untuk melancarkan kembali bacaaan. Dan ketika berada di POS, aku kembali belajar tajwid meningkatkan kelancaran bacaan.

Ilmu yang aku pelajari itu, aku ajar kembali kepada anakku. Dan Alhamdulillah, walaupun sibuk dengan kerja, aku pastikan setiap malam selepas maghrib, aku akan panggil anak aku untuk ajar mereka mengaji. 

Aku mulakan dengan Muqaddam (tidak Iqra) kerana konsep aku terapkan ialah kenal huruf dan dalam masa yang sama, aku perkenalkan konsep Makhraj huruf. Ilmu dan cara sebutan yang betul aku ajar berdasarkan ilmu yang aku pelajari dari beberapa orang guru. Kemudian, aku didik anak aku dengan baris. Memandangkan cara bacaan kini disebut baris atas, baris bawah, etc, aku ajar cara yang sama walaupun aku belajar dulu guna 'fathah', 'kasroh', 'domma', etc. Ini kerana konsep yang ingin diterapkan ialah kebolehan mengeja dan buka nama baris.

Setelah mereka lancar dan boleh mengeja dari satu huruf ke huruf yang bersambung, barulah aku kembali ke Iqra' untuk menasimilasikan dengan corak pendidikan sekarang.

Setelah mereka lancar, aku bawakan surah lazim (semua surah dalam Muqaddam). Dari satu ayat hingga satu surah bergantung kepada kelancaran masing-masing. Ketika ini, aku tidak tekankan tajwid atau panjang-pendek satu-satu bacaan itu. Kenapa? Ini dilakukan untuk tidak membunuh semangat anak-anak aku membaca Al-Quran dan untuk melancarkan bacaan mereka terlebih dahulu. Jika aku tekankan pada tajwid dan hukum 'mad', maka ia akan mengurangkan kelancaran mereka serta sukar untuk aku melihat sejauh mana mereka mampu mengenal huruf dalam baris yang panjang serta membacanya.

Apabila habis Muqaddam, aku kenalkan merekan dengan Al-Quran. Ketika inilah aku memperbetulkan bacaan mereka. Adakalanya bengang juga mereka sebab satu-satu ayat itu aku suruh ulang berkali-kali. Dalam masa yang sama, bergantung kepada kemampuan pernafasan anak-anak aku, ada yang aku habiskan satu ayat dan ada yang aku pecahkan ayat tersebut kepada beberapa potong ayat. Cuma, setakat ini, aku belum ajar anak aku apa nama hukum tajwid itu. Salah satu sebabnya ialah aku sendiri tidak berapa ingat. Namun apa yang aku ajar ialah, apabila ada tempat yang perlu didengungkan aku didik mereka untuk dengungkan serta memaklumkan kenapa. Apabila ia perlu di Qalqalah kan, maka aku didik mereka dan maklumkan kenapa. Malahan, cara sebutan ketika dengung/qalqalah serta pergerakan di lidah juga aku tunjukkan. Ini semua hasil dari ilmu yang dipelajari ketika berada di beberapa syarikat.

Dan kini, Alhamdulillah, bukan sahaja aku sendiri lancar membaca Al-Quran (Surah Al-kahfi habis aku baca dalam 25 minit dan Surah Al-Baqarah kini boleh aku habiskan dalam seminggu dengan bacaan sekitar 20 minit sehari) dan bacaan surah Yassin aku perbetulkan bersama dengan surah-surah lain, namun ada beberapa surah memerlukan aku menukar gear ke gear rendah kerana pertukaran makhrajnya yang berbeza dalam satu-satu perkataan itu. Walau bagaimanapun, anak aku telah aku didik sendiri membaca Al-Quran tanpa menghantar ke mana-mana guru. Dan Alhamdulillah, walaupun anak aku memasuki sekolah agama agak lewat berbanding dengan anak-anak orang lain, tetapi mereka mampu mengharunginya tanpa masalah.

Cuma sekarang aku dah jarang mengajar anak aku mengaji. Bukan kerana tiada masa, tetapi setiap hari anak-anak aku dibebani dengan kerja sekolah (sekolah agama dan sekolah kebangsaan). Hanya pada hari mereka tiada kerja sekolah sahaja aku panggil untuk bertalaqqi dengan ku.

Untuk anak aku, hanya satu sahaja yang aku belum mampu ajar, iaitu tarranum dan juga bahasa arab. InsyaAllah, aku akan belajar juga satu hari nanti untuk membolehkan aku mengajar sendiri anak-anak aku ilmu tarranum dan bahasa arab.

Setakat ini, aku sekali-sekala berkesempatan bertalaqqi dengan beberapa orang ustaz di Masjid Saidina Abu Bakar (Bangsar) untuk memastikan pembacaan aku sempurna sekali gus mampu menyempurnakan bacaan anak-anak aku juga.

Begitulah sedikit pengalaman aku dalam mengajar anak aku ilmu membaca Al-Quran.

Monday, February 1, 2016

Perjalananku untuk mendapat Ijazah Sarjana (MSc)

Sebenarnya, dah lama rancang untuk berkongsi pengalaman aku dalam mengejar segulung kertas yang dinamakan Ijazah Sarjana @ Master of Sciences a.k.a MSc.

Perjalanan MSc ku bermula pada tahun 2006.. ketika ramai memanggil isteriku dengan gelaran Dr (ye lah.. orang kelulusan Medical Degree). Sifat cemburu sebab aku hanya orang biasa membuatkan aku aim to surpass my wife dalam pendidikan. Lagipun, aku rasa, ada satu bahagian dalam hidup ini tidak lengkap.. iaitu ilmu.

Peluang bekerja di MIMOS pada 2008 telah membuka satu jalan untuk aku mengapai cita-cita aku, iaitu bergelar academician dalam bidang yang aku minati, yakni Software Engineering & Information Security. Setelah setahun di MIMOS, aku memohon kebenaran untuk sambung belajar. Sepatutnya aku tidak boleh sambung kerana belum cukup haul lagi (perlu 2 tahun bekerja dengan KPI >= 3 setiap tahun). Namun, atas sokongan bos @ En Haris Aziz (thanks bos), aku diluluskan untuk sambung belajar.

Mulanya pening juga sebab tidak ada idea nak buat apa, kat mana nak sambung dan nak ambil course-work atau research. Lepas kaji, aku ambil research kerana kesibukan bekerja dan bekerja dengan institusi R&D negara memerlukan aku membuat penyelidikan. Perkara kedua ialah universiti yang aku perlu pilih. Setelah melihat kepada kemampuan diri dan keperluan universiti, aku pilih UiTM. Ketika aku memilih UiTM, ramai yang bertanya kenapa? Bukan sahaja UiTM dihatiku (dari diploma hingga sarjana muda dan kini sarjana pula), tetapi kerana ia menawarkan flexibility yang diperlukan oleh seseorang yang bekerja dengan workload yang tinggi. Selain itu, yurannya dan juga keperluannya juga bersesuaian dengan kemampuan kewangan aku. Dan kini, aku tidak menyesal memilihnya :).

Perkara berikutnya ialah mencari idea untuk penyelidikan. Pada mulanya aku merancang untuk buat satu framework untuk laman sesawang. Namun setelah memilih supervisor, aku memasuki deep into software dengan mencari punya kenapa software masih belum selamat walaupun pelbagai akta, framework, analisis, firewall, anti-virus, anti-malware, etc di bina. Susah juga nak cari dan menyelesaikan permasalahan ini. Di kala sahabat aku ramai yang melakukan penyelidikan sama dengan apa yang dilakukan ditempat kerja, aku pula melakukan perkara sebaliknya. Di tempat kerja, aku ialah software engineer cum researcher dalam bidang software engineering, manakala di peringkat sarjana, aku menyelidik punca sesuatu programming language itu menimbulkan masalah.

Hasil kerja tesis aku. Dari kiri ke kanan (2009, 2010, 2011, 2013, 2015 - tahun tesis diluluskan)
Setelah hampir 6 tahun bertungkus-lumus, dengan bertukar kerja 3 kali, serta pernah tidak bekerja selama 4 bulan untuk menyiapkan eksperimen dan tesis dan pelbagai halangan lain sehingga membuatkan aku hampir putus asa (ye lah, dah 6 tahun mengadap benda yang sama... letih oo), akhirnya, tesis aku siap pada tahun 2014 dan pada 2015 aku viva sebelum menerima ijazah pada penghujung tahun. Hampir setiap tahun tesis aku berubah... dari 6 eksperimen, tinggal 4 sahaja yang aku pamerkan.. lagi 2 simpan hehehe. Dari aku hanya nak evaluate static analysis tool, kepada menghasilkan sesuatu yang  baru dan cukup berguna pada masyarakat, iaitu taxonomy.

Dan paling manis ketika aku menerimanya, aku terima pada hari lahir aku.

Apa yang aku pelajari dari perjalanan ini:

  1. Jangan putus asa. Adakalanya benda yang baik lambat sampai tetapi bila sampai, ia jadi manis sekali nikmat itu.
  2. Sentiasa melihat dari pelbagai sudut dan sudut paling bagus ialah sudut positif
  3. Sentiasa bersabar
  4. Sentiasa memohon petunjuk dari Allah
  5. Apabila membaca sesuatu itu, jangan baca itu sahaja, baca juga pandangan lain yang merujuk atau mengkritik apa yang dibaca itu
  6. Apabila menerima sesuatu itu, lihat siapa yang bercakap dan dari sudut mana dia bercakap.


Ini sebahagiannya... Dan perjalanan ini mengajar aku sesuatu yang paling berguna sekali, yakni, sentiasa percaya pada Allah dan bahawa sesuatu itu bukan rezeki kita jika Allah takdirkan bukan, maka redhalah apa yang ada.

Nasihat aku pada yang akan lanjutkan pelajaran. Ingat satu sahaja, apa tujuan kita buat Master/PhD. Jika sekadar nak dapat segulung kertas, maka itulah yang kita akan dapat. Tapi jika kita hendak ilmu, redha Allah dan manfaat ilmu untuk masyarakat, maka, insyaAllah, setiap perjalanan hatta mengambil masa yang lama sekalipun, akan bermanfaat....

Projek Kemas Bilik - December 2015

Sebelum kemas
Masa penghujung cuti sekolah tahun lepas, selepas pulang dari kampung, saya mengambil cuti panjang (seminggu) sehingga ke awal tahun 2016. Tujuannya ialah untuk mengemas satu bilik yang tidak ubah seperti stor sementara .. hehehe...

Dalam proses SISIH
Sebenarnya, dah lama saya berhasrat nak kemas. Tetapi asyik menangguhnya. Bermula dengan alasan untuk jadikan bilik saya menelaah pelajaran, sehingga la selepas habis pengajian Master saya. Semuanya dijadikan alasan kerana kekeringan idea untuk meletak barang-barang tersebut.. tambahan pula stor bawah tangga juga penuh sesak.

Namun, dengan ketibaan anak ke-lima semakin hampir, ditambah pula keperluan untuk memisahkan anak ke-empat dan juga abangnya, maka, Projek Kemas Bilik telah terpaksa diaktifkan.

Dalam proses SISIH
Bermula dari hari isnin, saya dan anak-anak telah menyisihkan satu persatu barang-barang serta buku-buku yang saya rasa perlu. Hampir sehari suntuk juga menyisihnya.

Kemudian, pada hari kedua, saya berhenti sekejap untuk mencari barang keperluan seperti rak DIY dan kotak untuk menyusun barang-barang yang masih berguna atau 'akan' diguna-pakai nanti (sayang lagi tu).
Anak-anak membantu menyusun
Hari terakhir penyisihan.
Hari ke-empat... dah clear semua.
Hari ke-tiga, proses kemas kini diteruskan dengan memindahkan semua barang yang berguna ke bilik bawah untuk disusun didalam stor. Barang-barang didalam stor juga saya keluarkan bersama anak-anak. Kemudian, rombakan 'kabinet' dilakukan. Satu persatu barang disusn-atur semula dan dimasukkan didalam kotak bagi memudahkan pencarian dan penyusunan kemudiannya.

Hari ke-empat - rehat panjang.. penat oooo.

Hari ke-lima, penyusunan semua bilik dan pemasangan langsir dan kipas dinding.
Almari anak-anak
Bilik anak lelaki
Susunan baju sekolah

Akhirnya... Alhamdulillah... siap juga projek yang ditangguh sekian lama ini. Dan kini, semua bilik yang diguna-pakai 100%, kemas, susunan yang lebih teratur dan selesa :).

Stor pun dan kemas.. senang nak ambil barang dan tersusun. :)

Modal - ~RM1500 (rak 6 kaki + 4 almari + 3 almari terbuka + 1 Kipas dinding + Langsir dan hanger)

Moral: Tak perlu berbelanja besar untuk sediakan bilik anak-anak dengan almari extravaganza.. cukup sekadar yang perlu dengan lakukan sendiri (DIY) semua pemasangan :).